Tun Ghaffar Baba

Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah (1931 - 1936) dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu (1937 - 1940), Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).

Politik

Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kemudian aktif dalam PKMM sejak 1945 hingga 1948.

Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO dan Setiausaha BN.

Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955. Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1967.

Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir. Beliau keluar kabinet selama 10 tahun apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Dr. Mahathir dilantik Perdana Menteri beliau masih berada di luar kerajaan dan hanya masuk kembali pada tahun 1986 apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA dari 1 September 1967 hingga 31 Oktober 1971 dan merupakan pengasas Kolej MARA dan ITM yang kini sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan Kompleks Kewangan selama 10 tahun bermula 1 September 1976 hingga 1986 apabila dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku presiden selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Keluarga

Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan D. Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak.

Meninggal dunia

Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana diserang sakit jantung. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Jawatan

Ghafar Baba semasa menjadi Ketua Menteri Melaka
Setiausaha Kesatuan guru - guru 1949 - 1951,
Setiausaha UMNO Melaka 1951 - 1955
Pengerusi UMNO Melaka 1955 - 1973
Ketua Menteri Melaka 1959 - 1967
Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1957 - 1993
Ketua Penerangan UMNO 1958 - 1962
Naib Presiden UMNO 1962 - 1987
Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986)
Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri 1986 - 1993


No posts.
No posts.